PRN Kedah? Tak perlu, kata Mukhriz pada PAS

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yakin isu pelantikan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dapat diselesaikan sebelum persidangan DUN berlangsung pada 4 Julai ini.

Ini kerana katanya pada masa ini perbincangan antara kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH), PAS dan Barisan Nasional (BN) masih berjalan sekali gus menolak keperluan mengadakan pilihan raya negeri (PRN).

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyerahkan Baucar Daging Raya 2018 di Taman Arowana di Ayer Hitam, Jerlun dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang pada Sabtu lepas dilapor menjangkakan berlaku PRN di Kedah berikutan isu pelantikan speaker DUN belum selesai hingga kini.

Mukhriz yang juga Pengerusi PH Kedah, berkata respons yang diterimanya menerusi perbincangan tidak rasmi bersama PAS dan BN turut menunjukkan isu berkenaan bukan suatu perkara yang sukar untuk diatasi.

Tambah Mukhriz, antara perkara yang beliau tawarkan kepada PAS dalam perbincangan tersebut ialah mengiktiraf peranan ketua pembangkang dengan menyediakan kemudahan seperti pejabat dan kenderaan rasmi.