Zahid: Tidak akan ada barisan kabinet bayangan tetapi…

Pembangkang tidak akan membentuk kabinet bayangan, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya beliau berkata, mereka akan diagihkan portfolio tertentu bagi membolehkan fokus terhadap perkara khusus untuk dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

“Kita tidak mepunyai barisan kabinet bayangan tetapi kita telah menyusun senarai MP (ahli parlimen) dari pembangkang yang mewakili Umno dan PAS terutamanya untuk diberikan tanggungjawab memfokuskan portfolio tertentu.

“Dengan cara ini, kami melihat perbahasan akan menjadi lebih baik menerusi ahli Parlimen yang dipilih berpengetahuan mengenai isu tertentu.

“Walau bagaimanapun mereka bebas untuk menyentuh isu lain memandangkan kita berjanji untuk menjadi pembangkang konstruktif,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ketika ditanya mengapa BN mengambil keputusan untuk tidak menubuhkan kabinet bayangan, Ahmad Zahid berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Kita mempunyai cara berbeza, tak perlu ada kabinet bayangan… kita ada cara sendiri untuk fokuskan beberapa portfolio dan beberapa isu.

“Kita janjikan pembangkang yang constructive dan mepunyai kewibawaan dari segi maklumat
dan fakta yang kita perolehi,” katanya.

Bulan lalu, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa dipetik sebagai berkata bahawa pembangkang akan memperkenalkan kabinet bayangannya tidak lama lagi.

Apabila diasak tentang keperluan untuk menamakan perdana menteri dan barisan menteri bayangan, Zahid berkata bahawa beliau tidak pernah menyebut tentang perkara itu.

“I didnt tell you we are forming committee, I said portfolio.

“Itu namanya kabinet angan-anganan,” katanya sinis.